Friday, April 21, 2023

Dato Sri Anuar Ibrahim Dah Jadi PM

Dato Sri Anuar Ibrahim sudah menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sudah bertahun baru hendak update blog, sudah belasan tahun.

Dulu baru mengenal blog, jadi macam-macam blog kita buat, rupanya tidak semudah yang disangka, sebok cari rezeki untuk keluarga sampai tertinggal hobi buat blog.

Blog utama "xaturen.com" terbengkalai juga, hinggalah ke tahun 2022 baru mulakan kembali itu pun masa untuk kerja sudah berkurang, sebab sudah bersara.

Semoga diberi kekuatan olih Allah untuk saya terus membuat konten.

Wednesday, December 8, 2010

Apabila orang Melayu tak mengaku Melayu

Saranan Salleh

ADA segelintir orang Melayu sudah malu mengaku diri mereka orang Melayu, kata Sultan Selangor. Baginda telah menyampaikan titah mengenai keadaan orang Melayu pada hari yang tepat masanya dan wajar difikirkan oleh orang Melayu.

Sudah nampak orang Melayu yang inginkan sokongan bukan Melayu sanggup membuat pengakuan yang bangsa Melayu itu tidak penting.

Tujuan mereka tentulah berbau politik. Dalam kucar-kacir yang berlaku dalam arena politik kumpulan atau individu yang tidak faham mentadbir hari ini, kita tentulah tidak hairan kerana mereka yang menjadi pengikut begitu taksub sehingga sanggup melihat satu-satunya benteng orang Melayu, iaitu agama Islam dipermainkan dengan diberikan terjemahan yang lain dan orang Melayu yang berada di situ tidak ada yang berani bersuara.

Begitulah hinanya orang Melayu diletakkan oleh orang lain dan kita sendiri tidak berani mengatakan apa-apa. Sebab apa...,sebab takut nanti hilang sokongan bangsa lain kepada parti politik kita. Tidak cukup penghinaan yang begitu, kita sendiri mengatakan Ketuanan Melayu tidak penting. Apa-apa dasar yang memberikan pertolongan kepada orang Melayu tidak penting, kerana orang Melayu hari ini sudah tidak perlukan bantuan itu semua.

Tidak mengapalah kalau keadaan menunjukkan yang kita ini jauh tinggal di belakang bangsa lain. Tidak mengapalah kalau keadaan ketidaksamaan ini berlanjutan sampai bila-bila demi kepentingan politik kita. Berkaitan dengan keadaan ada segelintir orang Melayu yang berasa segan diri mereka dikenali sebagai orang Melayu, kita juga berasa sedih apabila ramai dalam kalangan orang Melayu tidak pandai menggunakan bahasa Melayu.

Lihat saja persidangan akhbar syarikat-syarikat milik kerajaan yang diketuai orang Melayu. Boleh dikatakan tidak pernah berjalan dalam bahasa Melayu. Maklumlah ketua-ketua eksekutif kita terlatih di luar negara dan penguasaan bahasa Melayu mereka lemah sekali. Lagi pun, lebih mudah menggunakan bahasa Inggeris, sebab ada wartawan-wartawan yang datang pun tak faham bahasa Melayu, tambahan lagi ada perkataan seperti Quantitative Easing yang susah hendak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Tetapi siswa dan siswazah kita kena belajar di universiti kita dalam bahasa Melayu. Tak mengapalah kalau rakan mereka di universiti swasta belajar dalam bahasa Inggeris. Jadi, kalau mereka dari universiti awam ini mencari kerja di sektor swasta, mereka akan bersaing dengan siswa lulusan dari universiti swasta. Tidak mengapa jika mereka diketepikan kerana mereka boleh jadi petani moden.

Sesiapa yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu pada hari ini boleh dianggap ketinggalan zaman kerana yang penting hari ini adalah merit. Penjawat awam pun ramai yang enggan mengetengahkan hak dan kepentingan orang Melayu. Sebab itulah, jumlah rungutan kepada Biro Pengaduan Awam tentang penjawat awam yang angkuh bertambah lagi.

Keadaan semasa menunjukkan bukan saja jurang antara orang Melayu dengan bangsa lain masih luas tetapi jurang sesama orang Melayu sendiri semakin meluas. Ertinya yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin. Ketidakseimbangan antara negeri-negeri juga masih luas. Tetapi itu semua tidak penting kerana sesiapa yang tidak mampu bersaing dalam zaman liberalisasi dan globalisasi hari ini, mereka akan ketinggalan.

Lagi pun, di negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat, ramai rakyatnya yang merempat. Di India dan Indonesia misalnya, ramai yang masih tidur di bawah jambatan dan di ruang hadapan hotel-hotel. Jadi, apa hendak hairan kalau ada orang Melayu yang masih tinggal dalam rumah seperti reban ayam atau reban kambing.

Sekurang-kurangnya, mereka tidak tinggal di bawah jambatan atau di hadapan hotel Hilton atau Shangri-la.

Kalau sudah orang Melayu sendiri tidak mengaku diri mereka orang Melayu, elok sangatlah dilaksanakan cadangan yang dibuat oleh seseorang Melayu dahulu iaitu di bawah ruangan bangsa dalam kad pengenalan, letak sahaja perkataan Malaysia, bukan perkataan Melayu. Senang bukan?. Cuma orang-orang seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin tidak setuju, sebab dia mengira Melayu dahulu, rakyat Malaysia di tempat kedua.

Apalah nak jadi dengan orang Melayu yang tak mengaku diri mereka orang Melayu? Kita letakkan saja mereka di sebelah kerana dalam alif ba ta, sekali ba itu bangsa dan kalau sudah tak mahu mengaku bangsa biarkan sajalah. Tidak hairanlah kalau perkara yang lain-lain berkaitan dengan bangsa pun tidak penting lagi bagi mereka seperti budaya, agama dan penggunaan bahasa Melayu.

Mudah bagi kita untuk memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu tanpa mereka yang tidak mahu mengaku orang Melayu ini mengganggu kita dari semasa kesemasa.

Saturday, October 23, 2010

Hak Melayu Bukan Barang Gadaian

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Hak-hak orang Melayu dan kaum bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan tidak harus dijadikan barang gadaian bagi meraih apa yang disebut sebagai kesamarataan.

Ketika memberi peringatan itu, wakil UMNO Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata,

golongan tertentu kini semakin berani membangkitkan soal kesamarataan, kesaksamaan dan keadilan sosial, kononnya gagasan 1Malaysia tidak akan menjadi satu realiti kalau bumiputera terus diberikan hak-hak istimewa.

Persoalannya, kata beliau, suarasuara tersebut semakin nyaring mempersoalkan dasar yang memberi hak keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan sedangkan kaum bukan bumiputera semakin menyerlah tahap ekonomi mereka setiap kali Rancangan Malaysia diperkenalkan selain menguasai senarai 10 orang terkaya di negara ini.

Katanya, kadangkala muncul kehairanan apabila menyingkap kembali sejarah perjalanan
ekonomi bumiputera semenjak negara mencapai kemerdekaan, golongan tersebut terus tercicir jauh di belakang kaum Cina.

Sedangkan, jelasnya, bangsa Melayu memegang tampuk kuasa dan menguasai perkhidmatan awam, pentadbiran negara, pertahanan serta keselamatan negara.

“Kalau dalam keadaan sedemikian pun orang Melayu boleh tercicir dari segi ekonomi, bagaimana agaknya keadaan ekonomi orang Melayu dan bumiputera seandainya kuasa politik dan pemerintahan negara beralih ditunjangi oleh kaum bukan Melayu,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Dalam nada tenang tetapi tegas, Samsudin berkata, kerajaan telah membelanjakan lebih RM1 trilion semenjak Rancangan Malaysia Pertama (RMK-1) hingga kesembilan dilaksanakan dan negara kini pula diambang pelaksanaan RMK-10.

Jika dibuat perkiraan, katanya, berdasarkan jumlah rakyat negara ini kira-kira 26 juta orang dan perbelanjaan yang telah dibelanjakan, bermakna setiap seorang rakyat telah memperoleh kira-kira RM3.8 juta dan sudah boleh bergelar jutawan.

Persoalannya, kata beliau, di mana salah dan silapnya maka ekonomi orang Melayu dan kaum bumiputera masih jauh tercicir.

“Kalau dana sebanyak itu telah tiris atau pun bocor, siapa yang mendapat manfaat daripada kebocoran itu,” soalnya.

Tegas Samsudin, sebagai anak Melayu dan warga UMNO, beliau tidak takut untuk menyuarakan perkara tersebut walaupun sedikit khuatir sekiranya perkataan itu diputar-belitkan oleh golongan tertentu bagi mengeruhkan lagi suasana.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyentuh mengenai Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhempas pulas menangani perkara tersebut bagi merealisasikan 1Malaysia yang diidam-idamkan supaya rakyat serta negara mencapai taraf negara maju menjelang 2020 yang jelas bukan kerja mudah.

“Namun kita perlu berpesan sesama sendiri bahawa kita perlu belajar bagaimana hendak mentalkinkan UMNO seandainya hak-hak yang saya maksudkan ini terkorban dan tergadai,” katanya.

Samsudin berkata, realiti yang UMNO hadapi sekarang amat menggusarkan dan sebenarnya berada dalam zon perang yang amat sukar dimenangi kerana ia merupakan peperangan sesama sebangsa, lebih parah lagi kalau ia melibatkan keluarga UMNO sendiri angkara perebutan kuasa.

“Apa ertinya kalau nasib kita ibarat, lain orang yang menuba, lain orang yang menangguk, lain orang yang susah payah membela lembu, lain orang yang bermewah dengan susu,” katanya.

Beliau berkata, bumiputera perlu disuntik dengan tiga modal iaitu budaya, upaya dan biaya tetapi turut berdepan anasir durjana iaitu perasaan hasad dengki.