Saturday, October 23, 2010

Hak Melayu Bukan Barang Gadaian

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Hak-hak orang Melayu dan kaum bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan tidak harus dijadikan barang gadaian bagi meraih apa yang disebut sebagai kesamarataan.

Ketika memberi peringatan itu, wakil UMNO Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata,

golongan tertentu kini semakin berani membangkitkan soal kesamarataan, kesaksamaan dan keadilan sosial, kononnya gagasan 1Malaysia tidak akan menjadi satu realiti kalau bumiputera terus diberikan hak-hak istimewa.

Persoalannya, kata beliau, suarasuara tersebut semakin nyaring mempersoalkan dasar yang memberi hak keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan sedangkan kaum bukan bumiputera semakin menyerlah tahap ekonomi mereka setiap kali Rancangan Malaysia diperkenalkan selain menguasai senarai 10 orang terkaya di negara ini.

Katanya, kadangkala muncul kehairanan apabila menyingkap kembali sejarah perjalanan
ekonomi bumiputera semenjak negara mencapai kemerdekaan, golongan tersebut terus tercicir jauh di belakang kaum Cina.

Sedangkan, jelasnya, bangsa Melayu memegang tampuk kuasa dan menguasai perkhidmatan awam, pentadbiran negara, pertahanan serta keselamatan negara.

“Kalau dalam keadaan sedemikian pun orang Melayu boleh tercicir dari segi ekonomi, bagaimana agaknya keadaan ekonomi orang Melayu dan bumiputera seandainya kuasa politik dan pemerintahan negara beralih ditunjangi oleh kaum bukan Melayu,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Dalam nada tenang tetapi tegas, Samsudin berkata, kerajaan telah membelanjakan lebih RM1 trilion semenjak Rancangan Malaysia Pertama (RMK-1) hingga kesembilan dilaksanakan dan negara kini pula diambang pelaksanaan RMK-10.

Jika dibuat perkiraan, katanya, berdasarkan jumlah rakyat negara ini kira-kira 26 juta orang dan perbelanjaan yang telah dibelanjakan, bermakna setiap seorang rakyat telah memperoleh kira-kira RM3.8 juta dan sudah boleh bergelar jutawan.

Persoalannya, kata beliau, di mana salah dan silapnya maka ekonomi orang Melayu dan kaum bumiputera masih jauh tercicir.

“Kalau dana sebanyak itu telah tiris atau pun bocor, siapa yang mendapat manfaat daripada kebocoran itu,” soalnya.

Tegas Samsudin, sebagai anak Melayu dan warga UMNO, beliau tidak takut untuk menyuarakan perkara tersebut walaupun sedikit khuatir sekiranya perkataan itu diputar-belitkan oleh golongan tertentu bagi mengeruhkan lagi suasana.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyentuh mengenai Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhempas pulas menangani perkara tersebut bagi merealisasikan 1Malaysia yang diidam-idamkan supaya rakyat serta negara mencapai taraf negara maju menjelang 2020 yang jelas bukan kerja mudah.

“Namun kita perlu berpesan sesama sendiri bahawa kita perlu belajar bagaimana hendak mentalkinkan UMNO seandainya hak-hak yang saya maksudkan ini terkorban dan tergadai,” katanya.

Samsudin berkata, realiti yang UMNO hadapi sekarang amat menggusarkan dan sebenarnya berada dalam zon perang yang amat sukar dimenangi kerana ia merupakan peperangan sesama sebangsa, lebih parah lagi kalau ia melibatkan keluarga UMNO sendiri angkara perebutan kuasa.

“Apa ertinya kalau nasib kita ibarat, lain orang yang menuba, lain orang yang menangguk, lain orang yang susah payah membela lembu, lain orang yang bermewah dengan susu,” katanya.

Beliau berkata, bumiputera perlu disuntik dengan tiga modal iaitu budaya, upaya dan biaya tetapi turut berdepan anasir durjana iaitu perasaan hasad dengki.