Wednesday, December 8, 2010

Apabila orang Melayu tak mengaku Melayu

Saranan Salleh

ADA segelintir orang Melayu sudah malu mengaku diri mereka orang Melayu, kata Sultan Selangor. Baginda telah menyampaikan titah mengenai keadaan orang Melayu pada hari yang tepat masanya dan wajar difikirkan oleh orang Melayu.

Sudah nampak orang Melayu yang inginkan sokongan bukan Melayu sanggup membuat pengakuan yang bangsa Melayu itu tidak penting.

Tujuan mereka tentulah berbau politik. Dalam kucar-kacir yang berlaku dalam arena politik kumpulan atau individu yang tidak faham mentadbir hari ini, kita tentulah tidak hairan kerana mereka yang menjadi pengikut begitu taksub sehingga sanggup melihat satu-satunya benteng orang Melayu, iaitu agama Islam dipermainkan dengan diberikan terjemahan yang lain dan orang Melayu yang berada di situ tidak ada yang berani bersuara.

Begitulah hinanya orang Melayu diletakkan oleh orang lain dan kita sendiri tidak berani mengatakan apa-apa. Sebab apa...,sebab takut nanti hilang sokongan bangsa lain kepada parti politik kita. Tidak cukup penghinaan yang begitu, kita sendiri mengatakan Ketuanan Melayu tidak penting. Apa-apa dasar yang memberikan pertolongan kepada orang Melayu tidak penting, kerana orang Melayu hari ini sudah tidak perlukan bantuan itu semua.

Tidak mengapalah kalau keadaan menunjukkan yang kita ini jauh tinggal di belakang bangsa lain. Tidak mengapalah kalau keadaan ketidaksamaan ini berlanjutan sampai bila-bila demi kepentingan politik kita. Berkaitan dengan keadaan ada segelintir orang Melayu yang berasa segan diri mereka dikenali sebagai orang Melayu, kita juga berasa sedih apabila ramai dalam kalangan orang Melayu tidak pandai menggunakan bahasa Melayu.

Lihat saja persidangan akhbar syarikat-syarikat milik kerajaan yang diketuai orang Melayu. Boleh dikatakan tidak pernah berjalan dalam bahasa Melayu. Maklumlah ketua-ketua eksekutif kita terlatih di luar negara dan penguasaan bahasa Melayu mereka lemah sekali. Lagi pun, lebih mudah menggunakan bahasa Inggeris, sebab ada wartawan-wartawan yang datang pun tak faham bahasa Melayu, tambahan lagi ada perkataan seperti Quantitative Easing yang susah hendak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Tetapi siswa dan siswazah kita kena belajar di universiti kita dalam bahasa Melayu. Tak mengapalah kalau rakan mereka di universiti swasta belajar dalam bahasa Inggeris. Jadi, kalau mereka dari universiti awam ini mencari kerja di sektor swasta, mereka akan bersaing dengan siswa lulusan dari universiti swasta. Tidak mengapa jika mereka diketepikan kerana mereka boleh jadi petani moden.

Sesiapa yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu pada hari ini boleh dianggap ketinggalan zaman kerana yang penting hari ini adalah merit. Penjawat awam pun ramai yang enggan mengetengahkan hak dan kepentingan orang Melayu. Sebab itulah, jumlah rungutan kepada Biro Pengaduan Awam tentang penjawat awam yang angkuh bertambah lagi.

Keadaan semasa menunjukkan bukan saja jurang antara orang Melayu dengan bangsa lain masih luas tetapi jurang sesama orang Melayu sendiri semakin meluas. Ertinya yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin. Ketidakseimbangan antara negeri-negeri juga masih luas. Tetapi itu semua tidak penting kerana sesiapa yang tidak mampu bersaing dalam zaman liberalisasi dan globalisasi hari ini, mereka akan ketinggalan.

Lagi pun, di negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat, ramai rakyatnya yang merempat. Di India dan Indonesia misalnya, ramai yang masih tidur di bawah jambatan dan di ruang hadapan hotel-hotel. Jadi, apa hendak hairan kalau ada orang Melayu yang masih tinggal dalam rumah seperti reban ayam atau reban kambing.

Sekurang-kurangnya, mereka tidak tinggal di bawah jambatan atau di hadapan hotel Hilton atau Shangri-la.

Kalau sudah orang Melayu sendiri tidak mengaku diri mereka orang Melayu, elok sangatlah dilaksanakan cadangan yang dibuat oleh seseorang Melayu dahulu iaitu di bawah ruangan bangsa dalam kad pengenalan, letak sahaja perkataan Malaysia, bukan perkataan Melayu. Senang bukan?. Cuma orang-orang seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin tidak setuju, sebab dia mengira Melayu dahulu, rakyat Malaysia di tempat kedua.

Apalah nak jadi dengan orang Melayu yang tak mengaku diri mereka orang Melayu? Kita letakkan saja mereka di sebelah kerana dalam alif ba ta, sekali ba itu bangsa dan kalau sudah tak mahu mengaku bangsa biarkan sajalah. Tidak hairanlah kalau perkara yang lain-lain berkaitan dengan bangsa pun tidak penting lagi bagi mereka seperti budaya, agama dan penggunaan bahasa Melayu.

Mudah bagi kita untuk memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu tanpa mereka yang tidak mahu mengaku orang Melayu ini mengganggu kita dari semasa kesemasa.

Saturday, October 23, 2010

Hak Melayu Bukan Barang Gadaian

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Hak-hak orang Melayu dan kaum bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan tidak harus dijadikan barang gadaian bagi meraih apa yang disebut sebagai kesamarataan.

Ketika memberi peringatan itu, wakil UMNO Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata,

golongan tertentu kini semakin berani membangkitkan soal kesamarataan, kesaksamaan dan keadilan sosial, kononnya gagasan 1Malaysia tidak akan menjadi satu realiti kalau bumiputera terus diberikan hak-hak istimewa.

Persoalannya, kata beliau, suarasuara tersebut semakin nyaring mempersoalkan dasar yang memberi hak keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan sedangkan kaum bukan bumiputera semakin menyerlah tahap ekonomi mereka setiap kali Rancangan Malaysia diperkenalkan selain menguasai senarai 10 orang terkaya di negara ini.

Katanya, kadangkala muncul kehairanan apabila menyingkap kembali sejarah perjalanan
ekonomi bumiputera semenjak negara mencapai kemerdekaan, golongan tersebut terus tercicir jauh di belakang kaum Cina.

Sedangkan, jelasnya, bangsa Melayu memegang tampuk kuasa dan menguasai perkhidmatan awam, pentadbiran negara, pertahanan serta keselamatan negara.

“Kalau dalam keadaan sedemikian pun orang Melayu boleh tercicir dari segi ekonomi, bagaimana agaknya keadaan ekonomi orang Melayu dan bumiputera seandainya kuasa politik dan pemerintahan negara beralih ditunjangi oleh kaum bukan Melayu,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Dalam nada tenang tetapi tegas, Samsudin berkata, kerajaan telah membelanjakan lebih RM1 trilion semenjak Rancangan Malaysia Pertama (RMK-1) hingga kesembilan dilaksanakan dan negara kini pula diambang pelaksanaan RMK-10.

Jika dibuat perkiraan, katanya, berdasarkan jumlah rakyat negara ini kira-kira 26 juta orang dan perbelanjaan yang telah dibelanjakan, bermakna setiap seorang rakyat telah memperoleh kira-kira RM3.8 juta dan sudah boleh bergelar jutawan.

Persoalannya, kata beliau, di mana salah dan silapnya maka ekonomi orang Melayu dan kaum bumiputera masih jauh tercicir.

“Kalau dana sebanyak itu telah tiris atau pun bocor, siapa yang mendapat manfaat daripada kebocoran itu,” soalnya.

Tegas Samsudin, sebagai anak Melayu dan warga UMNO, beliau tidak takut untuk menyuarakan perkara tersebut walaupun sedikit khuatir sekiranya perkataan itu diputar-belitkan oleh golongan tertentu bagi mengeruhkan lagi suasana.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyentuh mengenai Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhempas pulas menangani perkara tersebut bagi merealisasikan 1Malaysia yang diidam-idamkan supaya rakyat serta negara mencapai taraf negara maju menjelang 2020 yang jelas bukan kerja mudah.

“Namun kita perlu berpesan sesama sendiri bahawa kita perlu belajar bagaimana hendak mentalkinkan UMNO seandainya hak-hak yang saya maksudkan ini terkorban dan tergadai,” katanya.

Samsudin berkata, realiti yang UMNO hadapi sekarang amat menggusarkan dan sebenarnya berada dalam zon perang yang amat sukar dimenangi kerana ia merupakan peperangan sesama sebangsa, lebih parah lagi kalau ia melibatkan keluarga UMNO sendiri angkara perebutan kuasa.

“Apa ertinya kalau nasib kita ibarat, lain orang yang menuba, lain orang yang menangguk, lain orang yang susah payah membela lembu, lain orang yang bermewah dengan susu,” katanya.

Beliau berkata, bumiputera perlu disuntik dengan tiga modal iaitu budaya, upaya dan biaya tetapi turut berdepan anasir durjana iaitu perasaan hasad dengki.

Friday, August 20, 2010

Hak-hak Istimewa Orang Melayu.

Akibat kita mudah diperalatkan...

Kadang-kadang saya terfikir apalah sangat hak-hak istimewa orang Melayu yang ingin direbut oleh bukan Melayu supaya selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Ya, dalam perlembagaan, seolah-olah ada hak istimewa itu (perkara 153), tetapi dalam bentuk yang praktikal sebenarnya masih menjadi tanda tanya. Justeru, saya amat musykil kenapa bukan Melayu begitu mendesak supaya bukan Melayu mendapat hak sama seperti orang Melayu. Bila sebut sahaja asimilasi, mereka tolak seratus peratus. Bila sebut pasal hak istimewa, gagasan 1Malaysia diperalatkan untuk memenuhi nafsu serakah tersebut.

Saya masih tercari-cari di manakah hak istimewa itu? Apa yang saya lihat semua sektor sudah mula dibuka untuk diisi, berbanding dahulu. Kedudukan bahasa Melayu? Kedudukan agama Islam? biasiswa? kuota? Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan? IPTA dan IPTS? Diskaun membeli rumah dan apa lagi? Boleh dikatakan semuanya tidak lagi dapat dilihat dengan jelas dari segi diskriminasinya. Yang jelas, hak Melayu semakin terhakis. Apa yang saya tahu boleh dikatakan semuanya sudah dapat seorang sebiji. Sama rata sama rasa. Di manakah kelebihan yang ada pada Melayu yang sangat-sangat diharapkan. Tidak perlu saya buktikan satu persatu. Lihatlah sekeliling, apa yang telah berlaku di depan mata.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, seolah-olah sudah setaraf dengan bahasa lain dari segi penggunaannya sama ada perbualan mahupun bahasa bacaan. Lihat kain rentang dan risalah-risalah adakah bahasa Melayu didaulatkan? Kedudukan agama Islam berbanding agama lain, hari ini agama Islam secara berani telah dicabar di mahkamah dan mereka yang ultra kiasu telah banyak kali menang. Mereka begitu berani campurtangan dalam hal ehwal agama kita, sedangkan kita tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal agama mereka.

Kedudukan SJKC dan SK, tidak menampakkan perbezaan. Mereka dengan bahasa ibunda, SK dengan bahasa kebangsaan. Begitu juga dengan sekolah persendirian. Saya difahamkan kerajaan akan mengiktiraf sijil sekolah persendirian mereka (UEC). Jadi, saya sudah tidak nampak wujudnya diskriminasi yang jelas negatif, tetapi lebih kepada diskriminasi yang positif. Tetapi masih ada yang mengambil kesempatan. Kepada mereka yang minta saya pamerkan data-data dan statistik, Insya-Allah dari masa ke semasa maklumat tersebut akan saya sampaikan nanti disebabkan oleh ruang yang terhad.

Kadang kala tanpa data-data tersebut, kita sudah boleh lihat dengan jelas apa yang berlaku depan mata. Misalnya, biasiswa dan kuota, boleh dikatakan semua pelajar cemerlang telah ditaja oleh JPA. Ribuan hektar tanah telah diberikan kerajaan untuk pembangunan universiti berasaskan parti politik perkauman bagi memuaskan hati semua pihak.

Jika ada kekurangan serba sedikit, itu adalah wajar. Mana ada sistem sebegini di dunia ini. Bacalah sama buku Huntington, bertajuk Who Are We, mengenai kedudukan minoriti di sana, kalau pun tidak mahu melihat pengalaman di negara-negara jiran kita seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

Lihat pula kuota dan diskaun tujuh peratus untuk membeli rumah. Sebenarnya tidak menguntungkan Melayu. Melayu sudah tidak mampu beli rumah kos sederhana dan mewah, akhirnya siapa yang untung setelah rumah tersebut dijual. Melayu diperalatkan untuk mendapatkan rumah tersebut melalui perjanjian dalam perjanjian jual beli.

Baru-baru ini saya pergi ke Batu Pahat, saya lihat kubur atau taman peringatan, didirikan di kawasan majoriti Melayu. Kenapa kubur tersebut tidak dibuat di kawasan berhampiran dengan tempat tinggal mereka? Bukankah mudah untuk berurusan? Tetapi orang Melayu, tidak banyak cakap. Cuba kita lihat apabila kubur Islam hendak didirikan berhampiran kawasan mereka, kita lihat berguni-guni memorandum bantahan akan dikemukakan kepada pihak-pihak berkaitan. Apakah erti semuanya ini? Kenapa tidak belajar menjaga perasaan sesama kita? Hari ini mereka bukan hanya besar kepala, tetapi sudah semuanya membesar? Orang lain menjadi semakin mengecil. Kita tidak fikir akibat yang akan timbul disebabkan oleh sikap memendam rasa ini. Apakah kita tidak belajar psiki orang Melayu? Mereka mudah memendam rasa. Sesuatu yang terluka di hati akan dipendamkan terlebih dahulu. Sabar dan sabar. Saya yakin, sampai satu masa nanti, kesabaran itu akan hilang.